Cerita Saya

Monday, October 31, 2011

Allah melihat hamba Nya berdasarkan hatinya...

Assalamualaikum..Bissmillahirrahmanirrahim.
Manusia ialah makhluk ciptaan Allah yang sebaik-baik ciptaan. Manusia mempunyai akal yang melebihkan keistimewaan ciptaan Nya berbanding makhluk-makhluk yang ada di seluruh alam semesta ini. Dalam mempunyai akal, manusia juga mempunyai nafsu. Dua perkara ini memainkan peranan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Sekiranya manusia dapat mengawal nafsu dan menggunakan akal fikiran ke arah yang Allah suka, maka wujudlah IMAN dalam dirinya. Apabila perlakuan itu dilaksanakan secara BERISTIQAMAH, maka TAQWA akan ada dalam diri manusia tersebut.
Persoalannya, berapa ramaikah manusia yang dapat mengawal nafsu mereka? Berapa ramaikah manusia yang dapat menggunakan akal fikiran mereka betul-betul ke arah perkara yang Allah suka? 
Dan inilah dinamakan manusia.Lumrah manusia yang sering LUPA. Lupa untuk mengawal nafsu mereka apabila dirangsang oleh iblis laknatullah. Lupa berfikir untuk melaksanakan dan melakukan perkara-perkara yang Allah suruh, yang Allah suka. Dalam norma kehidupan manusia, apa yang penting nafsu dipuaskan, dipenuhi...akal berfikir ke arah perkara yang boleh membawa  keuntungan kepada diri sendiri sahaja dimatanya.
Ingatlah manusia......
Kaya manapun kita, bijak manapun kita..semua itu ialah anugerah daripada Allah. Siapalah kita yang mahu mendongak kasar kepada Pencipta kita? Siapalah kita yang mahu menyergah kekuasaan Nya? Pandanglah ke langit, lihat kepada diri kita..betapa kerdilnya diri kita yang merangkak hidup di muka bumi ini..Tidak malukah kita kepada Allah bahawa segala apa yang kita terima adalah kurniaan daripada Nya. Mengapa masih mahu bongkak? Mengapa masih mahu sombong? Mengapa masih mahu angkuh? Titiplah langkah dengan penuh hormat dan patuh kepada Pencipta kita yang Maha Agung. Janganlah merasakan diri kita hebat, kerana sebenarkan kita ialah hamba kepada Nya. Renungkanlah kembali kepada nikmat-nikmat yang Allah telah berikan kepada kita. Lihatlah..betapa banyaknya nikmat yang Allah berikan dalam kehidupan kita. Setiap saat Allah memberi nikmat kepada kita. Mengapa kita masih perlu menyangkal kekuasaan Nya. Sekiranya kita memikirkan kehidupan kita susah, jalanlah..maka akan dilihat ada lagi insan-insan yang lebih susah daripada kita. Kembalilah bersyukur kepada Nya atas segala apa yang dikurniakan Nya kepada kita. Sifat syukur akan menjadikan kita sebagai hamba yang sentiasa mengingati Pencipta. Sifat ini akan mengajar kita erti sifat tawaduk yakni rendah diri. Maanfatkanlah kehidupan kita di akhir zaman ini dengan perkara-perkara yang mendekatkan diri kita kepada Ilahi. berlindunglah kita dengan Nya daripada segala fitnah yang boleh menjurus kita ke lembah api neraka. Isikanlah ruang-ruang kehidupan kita dengan perkara yang Allah suka, yang mengingatkan diri kita tentang kekuasaan Nya. Berusahalah sedaya upaya untuk mencapai sifat Taqwa dalam diri. Kerana dengan adanya sifat ini, nescaya kita akan sentiasa berasa takut kepada Allah ketika mahu berfikir untuk melaksanakan sesuatu perkara yang ditegah Nya. InsyaAllah, sekiranya kita ingat kepada Nya, Dia akan sentiasa menjaga, mengawasi dan memerhatikan kita..Segala urusan akan dipermudahkan. Kembalilah kepada Nya. Ingatlah..Allah tidak melihat manusia dari segi kekayaan harta, tapi Allah melihat hamba Nya, berdasarkan sifat keikhlasan hatinya dalam melakukan perkara-perkara yang  diperintahNya. Semoga kita tergolong dalam golongan yang bertaqwa. Sama-samalah kita meningkatkan ketaqwaan dalam diri kita. InsyaAllah. Semoga Allah mengampuni dosa-dosa yang pernah kita lakukan.
Assalamualaikum.